Wednesday, May 12, 2010

ANTARA UKHWAH DAN IKHTILAT?







ANTARA UKHWAH DAN IKHTILAT


Salam sejahtera… sudah lama saya tidak membicara dilaman ini untuk sama-sama kita berkongsi, dalam mendekati diri kepada ALLAH SWT. Moga-moga apa yang dibicara dapat memberi istifadah kepada kita bersama. Persoalan topik kali ini ialah apa itu ukhwah? dan apa itu ikhtilat?.



"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat" (al-Hujurat: 10)


Perkataan Ukhwah bermaksud persaudaraan yang berasal daripada perkataan akhun atau akh yang bererti saudara. Saudara lelaki disebut akhun manakala saudara perempuan disebut pula sebagai ukhtu. Tetapi,perkataan ukhwah itu sendiri tidak membezakan antara sesama lelaki atau sesama perempuan, ia merangkumi semua secara umum, lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, dan lelaki sesama perempuan. Bersaudara bukanlah bermaksud kita boleh melakukan orang-orang lain seperti adik kita, tetapi bagaimana rasa kasih dan sayang itu kita terapkan terhadap saudara-saudara kita yang lain sama seperti mana kita berikan kepada adik-beradik kita.


Maka persoalannya, wujudkah istilah ukhwah antara lelaki dan perempuan? Dalam ilmu usul fiqh, kita mengetahui bahawa dalam menentukan sesuatu hukum, jika tiada dalil dari nas al-Quran mahu pun al-Hadis yang mengharam atau menghalalkan sesuatu perkara, maka ianya jatuh hukum secara harus (mubah). Tiada satu pun hadis atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan bukan bersaudara. Jadi dari mana pula datangnya hukum atau pernyataan yang mengatakan 'tiada ukhwah antara lelaki dan perempuan'?


Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya" (Bukhari dan Muslim)


Sebenarnya istilah ukhwah tidak menjadi masalah, tetapi mereka yang menggunakan istilah ukhwah untuk agenda tersembunyi, itu yang bermasalah. Kononnya dalam laman sosial(‘facebook’,’friendster’ dan sebagainya), mereka menggunakan istilah 'Salam Ukhwah' dan seumpamanya, untuk berkenalan dengan kaum berlainan jantina. Mereka melapik perbuatan yang mungkar dengan benda yang maaruf. Ini yang bermasalah.


Sebenarnya, Ikhtilat bukan ukhwah. Ikhtilat adalah percampuran, atau juga pergaulan. Ukhwah itu dibina atas landasan akidah yang sama, tetapi ikhtilat itu tidak memerlukan apa-apa ikatan landasan untuk dibentuk atau dibina. Senang kata, tidak mungkin percampuran seorang lelaki dan seorang perempuan (berdua-duaan) itu berlaku atas nama ukhwah (yang dibina atas dasar iman dan takwa), tetapi ianya hakikat adalah suatu bentuk ikhtilat yang ditanam atas dasar nafsu dan bisikan syaitan!


Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam bukunya Fatwa Mua'sarah (Fatwa Kontemporari) mengatakan bahawa perkataan 'ikhtilat' itu sendiri sebenarnya dipinjam dari perkataan luar, yang mana ianya tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan ukhwah yang sebenar antara muslim. Tidak berlaku di zaman Nabi tentang ikhtilat melainkan para sahabat semuanya berhimpun, bergaul, dan berinteraksi atas landasan ukhwah Islamiyah yang sejati.


Sebenarnya ukhwah itu cinta, tetapi cinta tidak semestinya ukhwah kerana cinta itu ada banyak peringkat dan sifatnya. Ukhwah itu menerbitkan rasa cinta sesama saudara, tetapi cinta itu pula, tidak semestinya lahir dari ikatan ukhwah yang didirikan, ianya boleh muncul secara tiba-tiba, boleh muncul disebalik rasa kebencian, malah boleh juga timbul pada saat yang tidak pernah kita jangkakan sendiri. Dan semestinya, rasa cinta kita terhadap setiap individu berbeza. Cinta seorang suami terhadap isterinya mestilah lebih tinggi daripada cintanya terhadap jiran perempuannya, walaupun mereka berbual, tolong-menolong atas landasan ukhwah.


Interaksi antara lelaki dan perempuan itu dibenarkan, namun ada batasnya, ianya bukanlah ditegah secara mutlak, dan bukan juga dibenar secara mutlak. Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam interaksi antara lelaki dan perempuan,baik sesama muslim mahu pun dengan yang bukan muslim. Ianya tergunapakai dalam semua keadaan.


"...Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..." (al-Ahzab: 53)


Hijab (belakang tabir) itu menunjukkan bahawa interaksi lelaki perempuan itu dibenarkan, namun hendaklah mempunyai batas, yang mana batas itu dapat menundukkan hati-hati mereka, lelaki dan perempuan.


"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuatkan" (an-Nur: 30)


"Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam bicara hingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik" (al-Ahzab: 32)



Binalah ukhwah di dalam diri kita, ukhwah di antara anggota badan dan seterusnya ukhwah di antara jasad dan roh dalam mendekati Allah. Hasil kekuatan diri kita binalah ukhwah itu di antara kita iaitu antara manusia dengan manusia demi mengembalikan zaman gemilang. Ikhtilat, seorang lelaki atau seorang perempuan jika menyanyagi dirinya(lelaki atau perempuan) dan menyanyangi diri yang lain(lelaki dan perempuan) jagalah batas pergaulan. Penampilan diri yang baik dan mampu melakukan amalan baik tetapi jika hati tidak ada ketetapan kepada keimanan tidak cukup kepada cinta ALLAH SWT. Semuanya KETAQWAAN….

Salam kemaafan… Wallahu'alam…

~~ PESANAN BERSAMA, MILMIZ ~~