Wednesday, January 20, 2010

Seruan Cinta Bersandarkan Allah SWT


SERUAN CINTA BERSANDARKAN ILAHI...


Manusia diciptakan berpasang-pasangan oleh Allah SWT sejak penciptaan manusia yang pertama iaitu Nabi Adam A.S. seterusnya Saidatina Hawa. Dengan bermulanya kejadian Adam dan Hawa, bermulalah timbul cinta yang berputik daripada perasaan sayang kepada jantina yang berlainan. Allah taala menjadikan cinta tersebut sebagai fitrah semulajadi manusia:



(( وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ )



Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Rum: ayat 21)


Adakah IPT medan yang sesuai untuk mereka yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi untuk bercinta?:


Manusia semenjak kecil telah melalui erti cinta, seperti cinta kepada ibu bapa, Rasulullah SAW dan sebagainya. Konsep cinta pada peringkat usia remaja dan ketika di IPT menjadi tertumpu ke arah mencari cinta antara jantina berlainan. Oleh itu cinta boleh dibahagikan kepada 3:


1. Cinta yang berasaskan kecantikan dan kesempurnaan (jamal & kamal) ibarat hujan yang turun pada tanah yang subur lalu membuahkan hasil.

2. Cinta yang berasaskan ehsan dan simpati ibarat hujan yang turun pada tanah yang dapat menakung air dan memanfaatkan orang lain.


3. Cinta yang berasaskan syahwat dan nafsu ibarat hujan yang turun pada tanah gersang, tidak membawa apa-apa kebaikan samada pada diri atau orang lain.

Tidak ada cinta antara manusia yang lebih sempurna daripada cinta kepada Rasulullah SAW. Kerana pada diri baginda terhimpun segala sifat kecantikan (jamal) dan kesempurnaan (kamal) pada manusia. Bahkan Allah taala menyertakan cinta baginda selepas kecintaan kepada Allah dalam firmanNya:


(( قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah Taubah: ayat 24)


Salahkah bercinta?Dan bagaimanakah cinta yang dibenarkan Islam?:


Adapun perbincangan tentang cinta lelaki kepada perempuan atau sebaliknya sebenarnya tidak salah. Ini adalah fitrah manusia yang dikurniakan Allah SWT. Sehinggakan baginda Nabi SAW pernah berkata:


(( حُبِّبَ إِلَيَّ مِنْ الدُّنْيَا النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ ))


Dicintakan kepadaku daripada dunia wanita-wanita, wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku (ketenangan) dalam solat. (Hadis riwayat Imam Nasaie dan Ahmad)

Tetapi adakah Rasulullah SAW berikhtilat? Tentu sekali tidak, bahkan cinta Rasulullah kepada wanita ialah cinta baginda kepada isteri-isteri baginda, iaitu cinta yang berlandaskan syariat. Buktinya baginda boleh hidup bahagia bersama isteri-isteri sehingga boleh dijadikan contoh kepada ummat. Dengan menurut lunas-lunas syariat, kehidupan bersama pasangan akan menjadi bahagia.

Oleh itu, percintaan kepada kekasih hati berlaku kepada sesiapa saja termasuk pelajar. Biasanya, percintaan yang serius berlaku pada peringkat usia remaja dan mereka yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi di IPT.


Apakah tanggungjawab sebenar untuk orang yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi?:
Pelajar-pelajar di IPT sebenarnya mempunyai tugas-tugas yang lebih penting dalam kehidupan mereka. Secara umumnya dalam konteks mahasiswa Malaysia di Jordan, mereka memegang dua tanggungjawab; sebagai seorang muslim, dan sebagai seorang pelajar. Maka tugas seorang pelajar Islam ialah menuntut ilmu dan memanfaatkan ilmu itu dengan memberi peringatan kepada orang lain. Sebenarnya tugas memberi peringatan ini adalah tanggungjawab semua pelajar, tidak kira pelajar syariah, bahasa mahupun perubatan. Masing-masing mengikut kemampuan dan bidang mereka:


(( فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ ))


Hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
(Surah Taubah:122)

Benarkah cinta itu buta sepertimana yang diperkatakan orang ramai?:


Sesetengah orang menyatakan cinta itu buta, tetapi sebenarnya cinta itu membutakan, menulikan dan membisukan. Seperti kata Syeikh Bushiri:

"إِنَّ الهَوَى مَا تَوَلَّى يُصْمِ أَوْ يَصِمِ"


Sesungguhnya cinta itu jika menguasai dirimu pasti akan membuta dan menulikanmu.


Adakah percintaan itu dapat memberi sesuatu kesan ke atas pembelajaran mereka?:


Dari aspek kesan cinta kepada seseorang, percintaan itu dapat menjadi pendorong atau peruntuh. Cinta yang mendorong ialah cinta yang diredai. Cinta ini akan membawa kesan yang baik kepada pelajaran. Namun, cinta yang meruntuh ialah cinta yang tidak diredai. Cinta ini akan menjejaskan pelajaran.

Apakah kesan jika berlakunya kekecewaan dalam percintaan terhadap individu?:


Kekecewaan dalam percintaan kadang-kadang boleh membawa kesan yang negatif dalam kehidupan. Contohnya, seperti yang telah dinyatakan, ia boleh membawa kesan yang buruk kepada pelajaran. Kadang-kadang ia juga boleh membawa perubahan kepada perlakuan seseorang itu kerana tidak dapat apa yang dikehendakinya.
Kekecewaan akibat putus cinta akan berlakunya jika cinta itu tidak berdasarkan syariat. Adapun yang berlandaskan syariat, kalau putus cinta tersebut ia tidak membawa kepada kekecewaan kerana beriman kepada takdir dari Allah SWT. Malah kalau putus pun, tidak akan membawa kesan pada diri, jika cinta itu betul-betul kerana Allah SWT. Kerana berjaya atau tidak cinta itu semuanya ketentuan Allah, dan pilihan Allah itu tentunya mempunyai hikmat yang tersembunyi:


(( وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ


Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.. (Surah Baqarah:216)


Sesetengah orang menyatakan dengan cinta itu mereka sanggup melakukan apa saja perkara untuk mencapai cinta mereka.Apakah penyebab terhadap situasi begini?:


Selain itu, dengan cinta itu mereka sanggup melakukan apa saja perkara untuk mencapai cinta mereka. Selalunya dalam keadaan sebegini mereka mahu sesuatu yang tidak elok dari perempuan. Cinta yang sebegini selalunya akan bermula dengan ‘SMS’, bertelefon, jelingan mata, berjumpa “dating”, makan bersama, berpegang-pegang tangan dan lama-kelamaan boleh membawa kepada penzinaan, lalu lahirlah anak yang tidak berbapa .Cinta yang sebegini ibarat kata orang arab: bermula dengan pandangan mata berakhir dengan azab seksa:

"أوله نظره وبسمه وآخــــــــــــــره تعذيب وإحراق"


Cinta itu mulanya dengan jelingan dan senyuman, kesudahannya azab dan dibakar oleh neraka.

Masalah berdua-duan yang kadang-kadang boleh membawa kepada keterlanjuran ataupun penzinaan dikalangan pelajar IPT sukar untuk dikawal,Apakah faktor-faktor berlakunya perkara ini?Bagaimanakah cara-cara untuk mencegahnya?:


Remaja adalah aset negara yang amat bernilai. Halu tuju negara samada ke arah kejayaan atau kejatuhan bergantung kepada remaja untuk mencorakkannya.

Masalah berdua-duaan yang banyak berlaku dikalangan pelajar IPT kadang-kadang membawa kepada keterlanjuran. Faktor berlakunya masalah ini kerana kejahilan ataupun kekurangan ilmu. Ini kerana pendidikan yang diberi tidak cukup atau tidak efisyen sehingga mereka menganggap ‘berdating’ itu perkara biasa. Kadang-kadang menjadikan belajar berkumpulan atau “study group” sebagai asalan untuk bercampur antara lelaki dan perempuan.

Antara sebab lainnya ialah hilang kawalan emosi dan perasan sehingga menguasai akal fikiran yang waras. Apabila hilang pergantungan kepada akal fikiran, perasaan malu dan segan yang menjadi fitrah manusia akan hilang sehingga menyebabkan nilai murni dan adap sopan masyarakat dilanggar dengan mudahnya. Imam Muslim meriwayatkan, sabda Rasulullah SAW bermaksud:”Sesungguhnya malu itu tidak ada pada sesuatu kecuali akan mencantikkannya, dan tidak ditarik daripada sesuatu kecuali akan memburukkannya”.
Masalah-masalah ini boleh dicegah dengan menerapkan ilmu Islam pada diri sebelum mereka remaja lagi. Pendidikkan yang berperingkat semenjak kecil hingga dewasa ini boleh mengembalikan kepada fitrah asal yang murni. Selain itu, peranan ibu dan bapa juga penting untuk memberi didikan kepada anak-anak.


Apakah persedian sebelum memulakan alam percintaan dan perkhawinan?:


Setiap manusia perlulah membuat persedian sebelum memulakan alam percintaan, dengan memastikan percintaan itu berdasarkan niat yang suci dan berlandaskan syariat Islam. Selain itu, seseorang perlu menambah ilmu untuk persiapan diri, kerana dengan ilmulah dapat menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Sebelum diijab kabul, pertunangan adalah salah satu percintaan yang sah dan dibenarkan oleh Islam. Tetapi dengan pertunangan,tidak bermaksud mereka boleh ‘berdating’ dan sebagainya. Batas-batas perhubungan hendaklah dijaga menurut kehendak syariat. Selain itu, bacaan buku-buku yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga dan motivasi keluarga perlu untuk menjamin kelancaran hidup berkeluarga. Mereka juga perlu mengetahui hak-hak dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri dalam rumah tangga.

Selain itu, suami dan isteri perlulah mengetahui tentang masalah ibadah yang fardu ain seperti mandi hadas, haid. nifas dan sebagainya. Ini sangat penting kerana ibadat amat berkait rapat dengan taharah dan bersuci. Suami juga haruslah matang dalam mengawal emosi dengan berbincang dengan keluarga dan bertanyakan yang pakar dalam hal rumah tangga. Ini membuktikan tanggungjawab seorang suami sangat penting dalam membina keluarga yang bahagia.


Apakah nasihat kepada mereka?:


Teman hidup penting dalam kehidupan kerana hidup memerlukan pergantungan di antara satu sama lain. Pada hakikatnya, cinta sudah ditentukan Allah SWT semenjak azali lagi. Cuma, kita haruslah mengikut panduan yang ditetapkan dalam mencari cinta yang diredhaiNya. Kadang-kadang harapan kita tinggi melangit untuk mendapatkan pasangan yang soleh/solehah tetapi kita tidak “mengukur baju pada diri sendiri”. “Kalau inginkan isteri seperti Siti Fatimah, biarlah diri seperti Saidina Ali”.

Sebagai hamba Allah SWT, pegangan kita kepada Allah SWT hendaklah lebih kuat daripada pegangan kita kepada diri sendiri. Mengikut nafsu hanya akan membawa kerosakkan pada diri serta penyesalan yang tidak berkesudahan. Jadi, dengan berusaha mengikut syariatlah akan membawa kesabaran dan kebaikkan yang banyak kepada kita. Pahala bersabar menunaikan ketaatan amat besar:


"من عشق فعف فكتم فصبر فمات فهو شهيد"


“Barang siapa yang bercinta dan dia menjaga maruah dan menyembunyikan cinta itu serta sabar lalu dia mati, sesungguhnya dia dibilang syahid (mendapat pahala syahid)”.

No comments:

Post a Comment